Jelaskan bagaimana pengaruh China memasuki Jepun. Huraikan
kesan pengaruh ini dari segi pentadbiran dan budaya.
1.0 PENDAHULUAN
Pengaruh China telah mula memasuki
Jepun bermula pada zaman Yayoi. Oleh hal yang demikian, Penulisan mengenai
pengaruh China dan kesannya ke atas pentadbiran dan budaya Jepun ini akan dikaji
antara zaman Yayoi hinggalah zaman Tokugawa. Zaman Yayoi bermula pada 300
Sebelum Masihi (S.M) hingga 300 Masihi, manakala zaman Tokugawa atau turut
dipanggil sebagai Zaman Edo pula bermula pada 1600 hingga 1867 Masihi.[1]
Pengaruh
China perlahan meresap masuk ke dalam budaya Jepun melalui asimilasi atau
penyesuaian dengan budaya sedia ada. Pada awalnya, ada sesetengah pengaruh
China diterima secara bulat-bulat terutama berkait dengan agama Buddhisme dan
juga sistem tulisan. Pengaruh China mula kelihatan apabila bidang pertanian
iaitu penanaman padi menggunakan teknik penanaman China mula tersebar menjelang
akhir zaman Jomon atau awal zaman Yayoi di bahagian Barat Jepun dan juga Selatan
Korea.[2]
Pada
abad ketiga masihi, China merekodkan bahawa penduduk Wa yang dirujuk sebagai
penduduk daripada Jepun telah datang ke China dengan menghantar beberapa misi
dan turut menziarahi tempat pentadbiran pemerintah Kuang-Wu.[3] Hal ini menunjukkan
perhubungan Jepun dan China sebenarnya telah berlaku pada tahun-tahun awal
masihi.
Pada
peringkat awal, kemasukan pengaruh China ke Jepun ialah secara tidak langsung
iaitu melalui Korea sebelum pengaruh China itu diperoleh secara langsung
daripada China. Berlaku pasang surut penerimaan atau kemasukan budaya China ke
Jepun. Pasang surut kemasukan pengaruh ini berlaku akibat masalah yang berlaku sama
ada di Korea, China mahupun Jepun.
2.0
CARA KEMASUKAN PENGARUH CHINA KE
JEPUN
Kemasukan pengaruh China ke Jepun
sangat unik. Kemasukan pengaruh China ini mempunyai tahap kemasukan yang
tertentu. Pastinya kemasukan pengaruh China ke Jepun ini turut melibatkan
negara lain. Terdapat dua tahap penting yang membawa masuk pengaruh China ke
Jepun. Tahap yang pertama ialah kemasukan pengaruh China melalui negara Korea.
Tahap kedua pula ialah pengaruh China terus melalui negara China.
2.1 Pengaruh China ke Jepun Melalui
Korea
Pengaruh China pada awalnya masuk ke
Jepun melalui tahap pertama. Zaman Yayoi merupakan zaman bermulanya kemasukan
imigran daripada Korea dan juga imigran China yang turut menjadi sebahagian
golongan atasan Yayoi kerana mereka membawa pelbagai kemahiran dan budaya
baharu.[4] Hubungan antara Jepun dan
Korea pada awalnya sangat rapat bermula pada tahun pertama masihi lagi. Jepun
yang terdiri daripada pelbagai negeri telah menghantar beberapa misi ke China
melalui tentera komander China Dinasti Han di Korea.
Namun begitu, hubungan antara Jepun
dan Korea ini berbeza pada akhir abad ke-4 apabila Jepun menubuhkan kerajaan
Mimana di kawasan selatan Korea. Ketika ini Jepun berada dalam zaman Kofun dan
Jepun turut dipanggil sebagai Yamato. Bukan itu sahaja, 200 tahun selepas
penubuhan kerajaan Mimana, Jepun secara langsung telah terlibat dalam
pergolakan perebutan kuasa yang berlaku di Korea iaitu antara kerajaan Paekche,
Silla dan Koguryo.[5]
Pergolakan politik yang berlaku di Korea ini memberi kesan kepada penghijrahan
orang China di Korea dan orang Korea sendiri untuk berhijrah ke Jepun. Hal ini
secara tidak langsung membantu pengaruh China untuk sampai ke Jepun. Pergolakan
ini turut membantu kepada kemasukan pengenalan Buddhisme ke Jepun melalui
hubungan Jepun dengan Paekche pada abad ke-6 masihi.[6]
Dapat dinyatakan bahawa ketika zaman
Kofun ini, Korea memainkan peranan terhadap Jepun melalui hubungan kenegaraan
Jepun dengan Korea yang telah membawa masuk pengaruh China ke Jepun apabila
imigran China dan Korea sendiri berhijrah ke Jepun akibat pergolakan beberapa
kerajaan di Korea. Malah, Korea yang terlebih dahulu menerima pengaruh China telah
menggunakan taktik dari China melalui peminjaman dari China seperti yang
berlaku kepada kerajaan Koguryo yang pernah ditewaskan oleh Paekche pada 313
Masihi.[7]
Pada
akhir zaman Yamato atau Kofun ini, Jepun memberi perhatian untuk mengukuhkan
kedudukan dalam negeri terutama selepas tentera Jepun gagal di Korea dan juga
berlaku pergolakaan dalaman Jepun iaitu pemberontakan Kyushu dan perebutan
takhta antara uji di kawasan timur.
Pengaruh China melalui Korea memperlihatkan pasang surut hubungan antara Jepun
dan Korea yang berlaku akibat pergolakan sama ada di Korea mahupun di Jepun
sendiri yang melihatkan pada akhirnya, Jepun terpaksa mengundurkan diri
daripada Korea.
2.2 Pengaruh China ke Jepun Melalui
China
Semenjak
dari zaman Yayoi lagi, Jepun telah dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan
China dalam bidang perdagangan dan kebudayaan. Hal ini kerana terdapatnya
jumpaan seperti wang syiling, manik dan juga senjata China di Osaka, Kyoto dan
Kyushu.[8] Walaubagaimanapun,
pengaruh China secara langsung dapat dilihat bermula pada zaman Asuka
terutamanya ketika pemerintahan Putera Shotoku yang telah memain peranan yang
agak besar dalam membawa masuk pengaruh China ke Jepun terutamanya berkait
dengan kepercayaan Buddhisme. Penerimaan pengaruh China ini pada awalnya tidak
diterima secara sepenuhnya oleh kebanyakan masyarakat Jepun ketika pemerintahan
Putera Shotoku.
Muncul Pembaharuan Taika yang
ditubuhkan pada 645 Masihi, beberapa tahun selepas kematian Putera Shotoku.
Pembaharuan Taika mengambil pemerintahan Dinasti T’ang di China sebagai model
pentadbiran di Jepun. Antara perubahan yang dilakukan ialah perubahan tanah
pertanian rakyat yang dijadikan sebagai tanah hak milik pemerintah.[9] Setiap petani akan diberi
atau dibahagikan jumlah keluasan tanah yang sama rata. Hal ini seiring dengan
ajaran Konfusianisme yang mementingkan kesamarataan. Pembaharuan Taika ini
secara tidak langsung sebenarnya telah memaksa seluruh rakyat Jepun untuk
mempraktikkan amalan Konfisianisme yang dibawa daripada China.
Abad ke-7 turut menyaksikan
permulaan hubungan rasmi antara Jepun dan China. Hubungan ini telah memudahkan
pengaruh China memasuki Jepun secara terus terutama semasa pemerintahan Dinasti
Sui dan Dinasti T’ang di China. Satu hubungan rasmi telah dibentuk antara Jepun
dengan kerajaan Dinasti Sui iaitu pada 607, manakala dengan kerajaan Dinasti
T’ang pada 630.[10]
Jepun telah menghantar beberapa misi ke China yang melibatkan pelajar-pelajar,
rahib-rahib Buddha, pegawai-pegawai diplomat dan juru alih bahasa iaitu empat
misi semasa Dinasti Sui antara tahun 600 hingga 614, dan 15 misi semasa Dinasti
T’ang antara tahun 630 hingga 838.[11] Pada ketika ini, hubungan
Jepun dengan Korea mengalami kemerosotan berbanding sebelumnya.
Penghantaran misi-misi ini dengan
jelas menunjukkan bahawa pengaruh China itu disampaikan secara langsung kepada
masyarakat Jepun yang pergi secara terus ke China untuk mempelajari budaya China
dan agama Buddha. Hubungan ini memberi makna yang sangat signifikan kepada pemindahan
pengaruh China baik dari sudut budaya mahupun agama ke dalam kehidupan
masyarakat Jepun yang diterima dan dipraktikkan secara berperingkat-peringkat
yang seterusnya diasimilasikan dengan budaya yang sedia ada. Dasar keterbukaan
China terutamanya ketika zaman Dinasti T’ang untuk menerima masuk imigran luar
mempelajari budaya China dan agama Buddha menjadi pemudah kepada kemasukan
pengaruh China ke luar negara termasuk Jepun. Dalam buku A History of Japanese Literature: The First Thousand Years, Shuichi
Kato menyatakan bahawa;
“The century spanning the establishment of Kyoto as
capital in 794 and the discontinuation of the embassies to T’ang China in 894
was a period in which imported Chinese civilization was gradually digested and
submitted to a native transformation.”[12]
Penyataan
tersebut membuktikan zaman Dinasti T’ang terutamanya sekitar abad ke-9
merupakan zaman pengaruh China yang kerap masuk ke Jepun dan mendatangkan
perubahan yang besar kepada masyarakat Jepun ketika itu.
Asimilasi terbesar sekali
terhadap pengaruh budaya China ialah pada zaman Heian. Sesuai jika dikatakan
berlaku “Japanization” atau
penjepunan budaya China ketika zaman ini kerana peralihan atau perubahan yang
berlaku kepada sosial dan politik di Jepun adalah konsisten atau berterusan.[13] Sekitar penghujung abad
ke 12, Jepun telah mengamalkan dasar pintu tertutup dengan seluruh negara Asia
yang lain yang menjadikan Jepun sebagai “closed
country” dan berlanjutan selama lebih kurang 300 tahun.[14]
Kemasukan pengaruh China ke
Jepun turut memperlihatkan pasang surut hubungan serta perbezaan cara bagi
setiap zaman di Jepun atau dinasti di China. Keadaan pasang surut kemasukan
budaya China ke Jepun adalah disebabkan masalah dalaman di kedua-dua negara
terutamanya ketika zaman pemerintahan berubah atau pertukaran dinasti baru.
3.0
KESAN PENGARUH CHINA KEPADA PENTADBIRAN DAN BUDAYA JEPUN
Pengaruh
China yang memasuki Jepun telah memberi kesan dan perubahan kepada corak
pentadbiran serta amalan budaya masyarakat Jepun sendiri. Pengaruh China ini
ada diantaranya yang diterima secara bulat-bulat atau secara penuh, secara
pecampuran atau penggabungan dengan budaya sedia ada dan ada yang ditolak
sepenuhnya. Namun, kebanyakan pengaruh China ini diterima oleh masyarakat Jepun
tetapi diasimilasikan dengan budaya tempatan. Walaubagaimanapun, penerimaan
pengaruh China ini bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat diterima dalam waktu
yang singkat. Sebaliknya, ia mengambil masa yang agak lama untuk masyarakat
Jepun menerima pengaruh China. Sebagai contoh, Buddhisme yang diperkenalkan
pada abad ke-6 pada awalnya hanya diterima sepenuhnya oleh golongan atasan,
sebaliknya, pada abad ke-12, barulah kepercayaan ini diterima oleh golongan
masyarakat iaitu rakyat Jepun sendiri.
3.1
Kesan Pengaruh China Kepada Pentadbiran Jepun
Pengaruh
China memberi kesan kepada sebuah pentadbiran Jepun yang lebih utuh dengan
kewujudan masyarakat petani yang menetap dan membentuk organisasi sehingga
terbentuknya kampung petani. Pengenalan sistem pertanian terutamanya pertanian
padi yang bermula di China yang kemudiannya tersebar ke Korea dan Jepun
dikatakan oleh kebanyakan sarjana sebagai punca perubahan zaman iaitu daripada
zaman Jomon kepada zaman Yayoi.[15] Masyarakat Jepun pada
zaman Yayoi merupakan masyarakat yang lebih sistematik dan mempunyai tempat
tinggal yang tetap dengan mengusahakan pertanian. Sumbangan pengaruh China ini
begitu besar dalam mentamadunkan masyarakat Jepun untuk mempunyai sebuah sistem
pentadbiran masyarakat yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Beras
menjadi sumber utama ekonomi masyarakat pada zaman Yayoi. Oleh hal yang
demikian, pertanian padi ini menjadi satu kegiatan yang serius dan wujudlah
kelompok masyarakat yang lebih berorganisasi. Bermula dengan beberapa kelompok
keluarga petani, kemudian wujud sebuah kampung. Kelompok masyarakat yang wujud
ketika ini mejadi asas kepada sebuah pentadbiran masyarakat Jepun moden. Jelas
bahawa sistem masyarakat petani dan kewujudan pentadbiran peringkat kampung ini
merupakan hasil daripada pengenalan pertanian padi yang dibawa masuk daripada
China.
Pada
awal kedatangan ajaran Buddhisme dan Konfusianisme ke Jepun pada abad ke-6
iaitu semasa Dinasti T’ang di China, pentadbiran Jepun juga terpengaruh dengan
corak pemerintahan dinasti ini. Jepun melakukan pembaharuan berpusat dalam
sistem pentadbirannya dengan menjadikan China sebagai model ketika itu. Wujud
satu kelompok aristrokrat yang dipanggil sebagai uji yang berperanan sebagai pemerintah wilayah yang ditadbir
dibawah mereka. Walaupun menjadikan China sebagai model pentadbiran, namun
Jepun tidak mengambil satu perkara penting dalam ajaran Konfusianisme China
iaitu pemerintah memerintah kerajaan berdasarkan mandat daripada syurga.
Sebaliknya Jepun berpegang kepada kepercayaan mereka sendiri bahawa Tuhan
Matahari atau Amaterasu yang
memberikan mandat kepada keluarga diraja untuk memerintah selama-lamanya.[16]
Pembaharuan
Taika yang muncul pada 646 Masihi juga mengamalkan konsep dalam Konfusianisme
China iaitu kesamarataan. Konsep ini diterapkan dalam pentadbiran kumpulan
Pembaharuan Taika ini. Antara perkara yang diperkenalkan atau diperbaharui
ialah memansuhkan tanah persendirian, penubuhan ibu negeri imperial baharu,
mewujudkan sistem pentadbiran daerah yang mantap, melakukan bancian tanah dan
penduduk dan seterusnya sistem percukaian.[17]
Pada
zaman Tokugawa pula, pentadbiran Jepun ketika itu berpegang Falsafah
Konfusianisme aliran Chu Tsi yang meletakkan pelbagai peraturan bagi memastikan
setiap kelas masyarakat menjaga tingkah laku kelas mereka.[18] Kelompok bushi menjadi kelompok istimewa pada
zaman ini sama seperti zaman-zaman sebelumnya terutama zaman Kamakura di mana
penglibatan bushi dalam pentadbiran
zaman Kamakura amat besar sekali. Pada zaman Tokugawa, pengaruh Konfusianisme
dari China telah menjadikan bushi
sebagai contoh kepada rakyat dan bushi
bertanggungjawab untuk melindungi golongan rakyat. Muncul ie iaitu satu kelompuk kelas masyarakat yang asalnya daripada
keluarga bushi tetapi kemudian
melibatkan seluruh anggota masyarakat. Bushi
bertanggungjawab menjaga kestabilan ie
yang berada dibawahnya. Jelas bahawa pengaruh Konfusianisme daripada China
memberi kesan kepada pentadbiran dan terdapatnya perbezaan penerimaan pengaruh
ini pada awal kedatangan Konfusianisme dan juga zaman-zaman selepas.
Kesan
pengaruh China dalam bidang pentadbiran dapat dilihat dalam pembinaan ibu kota
zaman Nara iaitu Heijo yang bermodelkan ibu kota Dinasti T’ang iaitu Chang An.
Ibu kota ini lengkap dengan kemudahan seperti biara, bangunan kerajaan dan juga
jalan raya.[19]
Pemilihan kawasan Nara sebagai ibu kota dikaitkan dengan pengaruh China dalam
memilih sesebuah kawasan iaitu dikelilingi bukit-bukau dan juga mengambil kira
unsur air dan angin. Pembinaan kawasan pentadbiran ini juga dikaitkan dengan
konsep keseimbangan yang diamalkan dalam sistem pentadbiran di China. Maka Kod
Taiho diwujudkan dan memperjelaskan mengenai pelan asal pembinaan ibu kota Nara
yang seimbang dan juga cara susunan bangunan kerajaan. Kesan daripada kod ini
juga ialah menghasilkan tiga kelompok rakyat iaitu rakyat bebas, pegawai dan
penyewa negeri dan rakyat tidak bebas.
Selain
itu sitem pentadbiran Jepun turut memperlihatka percampuran pengaruh China
dengan sistem sedia ada. Hal ini sekali lagi dapat dilihat pada zaman Nara. Pentadbiran
kerajaan pada zaman ini telah dibahagikan kepada beberapa jabatan kami. Kami berperanan terhadap ritual Shinto untuk maharaja dan majlis
negara atau daijokan. Daijokan pula diurus oleh tiga orang
menteri yang turut memantau lapan kementerian yang lain. Pada peringkat daerah,
terdapat 66 provinsi diketuai oleh gabenor. Walaubagaimanapun, Jepun dikatakan
gagal untuk membangunkan Nara mengikut konsep keseimbangan yang diamalkan oleh
China. [20] Jelaslah bahawa pengaruh
China memberi kesan kepada perubahan sistem pentadbiran Jepun.
3.2
Kesan Pengaruh China kepada Budaya Jepun
Pengaruh
China ke Jepun telah meberi kesan terhadap amalan dan budaya masyarakat Jepun
itu sendiri. Pengenalan pertanian padi yang mula diperkenalkan pada awal zaman
Yayoi yang tersebar ke Jepun dan dibawa masuk oleh golongan imigran China dan
Korea telah mengubah corak kehidupan masyarakat Jepun. Pertanian padi menjadi
sumber ekonomi utama masyarakat Jepun selepas dibawa masuk ke Jepun. Pertanian
ini secara tidak langsung telah menjadikan masyarakat Jepun untuk mempunyai
sikap rajin berusaha dan berdisiplin agar hasil yang diperolehi memuaskan.
Malah nilai kesabaran turut disemat dalam diri masyarakat petani kerana
penanaman padi memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memperoleh hasilnya.
Pengenalan pertanian ini menjadi titik permulaan kepada komuniti yang hidup
menetap dan kehidupan yang lebih bertamadun.
Kehidupan
masyarakat Jepun yang lebih bertamadun pada zaman Yayoi ini seterusnya membawa
kepada kesan kemajuan masyarakat dalam teknologi pembuatan tembikar. Perbezaan
pembuatan tembikar pada zaman Jomon dan Yayoi ialah, zaman Jomon lebih
menumpukan kepada dekorasi, manakala pada zaman Yayoi lebih menumpukan kepada
reka bentuk.[21]
Reka bentuk tembikar pada zaman Yayoi yang dipengaruhi oleh pengaruh China
menjadikan pembuatan tembikar lebih halus berbanding zaman sebelumnya. Hal ini
menunjukkan budaya pembuatan atau pertukangan setelah menerima pengaruh China
lebih baik dan memperlihatkan ketamadunan bangsa Jepun.
Hasil
karya seni masyarakat Jepun juga banyak dipengaruhi dengan pengaruh China
dinasti abad ke-6 dan juga pengaruh Buddhisme. Ketika zaman Asuka, kebanyakan
patung-patung Buddha, hasil seni lukisan dan seni bina biara dihasilkan oleh
petukang China dan juga Korea. Antara contoh ukiran patung kayu atau Kannon bodhisattva iaitu Kudara Kannon dan
Miroku. Seni ukiran dan lukisan semasa zaman Hakuho mengalami titik perubahan
daripada seni pengaruh dinasti China abad ke-6 kepada pengaruh China Dinasti
T’ang. Penghasilan patung gangsa “trinity
of Yakushi” yang dihasilkan di Jepun sendiri dikatakan lebih halus
pembuatannya dan kelihatan lebih hidup.[22] Terdapat juga teknik baru
yang dipengaruhi oleh hasil seni Dinasti T’ang iaitu teknik penghasilan patung
menggunakan tanah liat dan lakuer kering. Contoh hasil seni menggunakan teknik
ini ialah patung Dewa Pelindung di biara Todaiji di Nara yang dihasilkan pada
zaman Tempyo.
Dalam
hasil seni bina masyarakat Jepun pula, satu-satunya biara kayu tertua di dunia
telah dibina pada 607 dibawah pemerintahan Putera Shotoku yang terletak di
barat daya Nara iaitu biara Horyuji. Biara ini merupakan satu-satunya biara
Buddha yang bertahan daripada zaman pemerintahan putera Shotoku. Biara pada
zaman ini disusun mengikut bentuk yang dipanggil sebagai garan. Antara ciri biara ini ialah bumbungnya berbentuk segi empat
tepat atau segi empat sama, terdapat pagar masuk yang dibina di tengah-tengah
bahagian sebelah selatan kawasan biara, terdapat dewan emas iaitu kawasan utama
dalam biara, dewan belajar dan sekurang-kurangnya sebuah pagoda.[23] Terdapat patung Buddha
yang diperbuat daripada gangsa didalam biara Horyuji iaitu “Shaka trinity” yang menggambarkan
sejarah Buddha. Jelaslah bahawa pengaruh China memberi kesan terhadap budaya
seni bina Jepun.
Seterusnya, pengaruh China telah memberi
kesan kepada budaya Jepun dalam aspek sistem tulisan dan bahasa. Sistem tulisan
penting untuk merekod urusan pentadbiran kerajaan seperti hasil pertanian,
kutipan cukai dan penulisan kod undang-undang. Bahasa China dan Jepun dari segi
bunyi, kosa kata dan tatabahasa adalah berbeza sama sekali.[24] Jepun yang tidak
mempunyai sistem tulisannya sendiri telah menggunakan sistem tulisan China
bermula pada abad ke-5 masihi. Tulisan kanji
digunakan dalam penulisan masyarakat Jepun pada peringkat awal. Namun pada abad
ke-9 masihi, suku kata Jepun iaitu kana
diperbaharui dan digunakan dalam sistem bahasa Jepun. Penggunaan sistem tulisan
China begitu meluas di Jepun. Diantara abad ke-7 hingga abad ke-9,
kesusasteraan Jepun di tulis dalam dua bahasa iaitu bahasa China dan bahasa
Jepun.
Kambun yang merupakan satu bentuk teks
yang digunakan dalam kesusateraan asli Jepun yang ditulis dalam tulisan China
digunakan bermula pada zaman Heian. Hasil kesusateraan ini menggunakan kosa
kata Jepun tetapi dengan tulisan China. Dalam abad ke-10 pula muncul dua jenis
huruf kana iaitu hiragana dan katakana.[25] Antara kedua-dua huruf
ini, huruf hiragana yang banyak
digunakan selepas abad ke-10 dan seterusnya. Perbezaan tulisan dan bahasa China
dan Jepun jelas berbeza kerana bahasa China bersifat satu suku kata, tersusun
rapi, tiada nada suara berunsurkan nahu. Berbeza dengan Jepun yang mempunyai
banyak suku kata, panjang lebar dan intonasi suara yang tinggi ketika menyebut
bahasa Jepun.[26]
Kesusateraan
Jepun juga menerima pengaruh China yang kuat memandangkan sistem tulisan Jepun
menerima pengaruh China. Kebanyakan sasterawan Jepun mampu menghasilkan hasil
sastera dalam bahasa China. Sebagai contoh semasa zaman Heian, Sugawara no
Michizane mahir dalam menulis puisi China. Penulis lain seperti Murasaki
Shikibu telah menulis sebuah novel bertajuk “Genji
Monotagari” tentang kehidupan kelas atasan abad ke-11 dan ke-12 serta
pengaruh China yang telah diasimilasikan dengan budaya Jepun.[27] Penulis wanita pula pada
zaman tersebut kebanyakannya menggunakan tulisan kana dalam karya sastera mereka.
Dalam
kesusasteraan Jepun ini juga, terdapatnya sebuah karya agung yang mengandungi
cerita penuh dengan unsur mitos, lagenda, keagamaan dan sebagainya iaitu Kojiki dan Nihon Shoki. Hasil karya ini telah dihasilkan sejak akhir abad ke-6
dan awal abad ketujuh. Pada awalnya Putera Shotoku telah menghasilkan
Perlembagaan 17 Fasal yang disimpan dalam Nohin
Shoki pada 604 menggunakan teks kambun.[28] Jelas dalam kesusateraan
Jepun ini, pengaruh China memberi kesan kepada penggunaan bahasa, huruf dan
juga idea karya sastera masyarakat Jepun. Malah, kebanyakan daripada mereka
mampu menghasilkan hasil sastera China. Hal ini membuktikan pengaruh China
menjadi penggerak kepada kary-karya sastera di Jepun.
Disamping
itu, pengaruh China telah meresap ke dalam amalan kepercayaan masyarakat Jepun.
Ajaran Buddhisme yang dikatakan masuk ke Jepun pada pertengahan abad ke-6
melalui Korea menjadi titik permulaan kepada pelbagai pengaruh unsur Buddhisme
di Jepun. Hal ini termasuklah budaya seni bina, pertukangan atau hasil seni,
pentadbiran, serta hasil sastera. Kesemuanya mempunyai pengaruh Buddhisme.
Selain ajaran buddhisme, pengaruh China telah memperkenalkan ajaran
Konfusianisme dalam kehidupan masyarakat Jepun. Falsafah Konfusianisme ini
memberi kesan kepada sistem pentadbiran Jepun sebagai contoh pemerintahan
Tokugawa seperti yang dijelaskan sebelum ini. Pelbagai usaha dilakukan oleh
pemerintah untuk mempelajari buddhisme dengan lebih mendalam. Sebagai contoh,
Putera Shotoku dan juga ahli intelektual Jepun semasa Pembaharuan Taika telah
mempelajari Buddhisme dan juga ajaran Konfusianisme secara langsung di China.
Pada
peringkat awal, Jepun menerima sepenuhnya konsep Buddha Mahayana. Dalam konsep
Buddha Mahayana ini terdapat tiga bentuk Buddha iaitu dalam bentuk alam
semesta, bentuk mistik, dan dalam bentuk menjelma sebagai Gautama.[29] Teori asas Buddha turut
diterima sepenuhnya oleh beberapa kelompok masyarakat Jepun ketika itu. Teori
tersebut ialah semua benda tidak akan kekal dan manusia tidak dapat mengubah
nasibnya. Masyarakat pada abad ke-7 atau ke-8 percaya bahawa Buddhisme daripada
China ini merupakan ajaran yang dapat meninggikan kualiti hidup.
Kesan
agama Buddha ini juga ialah wujudnya toleransi agama. Masyarakat primitif Jepun
yang menganut Shinto pada awalnya agak sukar untuk menerima ajaran Buddhisme
ini. Namun setelah beberapa abad, Buddhisme dapat diterima oleh masyarakat
Jepun. Penggabungan antara Buddhisme dan juga Shinto dilakukan dan kedua-duanya
diamalkan oleh masyarakat Jepun yang membuktikan wujud toleransi agama. Hal ini
memberi kesan yang besar kepada masyarakat Jepun. Berlaku perubahan iaitu
prinsip kami dalam Shinto turut
dianggap sebagai dewa-dewa Buddha tetapi dalam bentuk yang berlainan. Selain
itu,tempat-tempat suci atau biara Shinto juga merupakan biara Buddha. Perayaan
perkahwinan dan sambutan kelahiran adalah mengikut Shinto manakala hal-hal
berkait kematian dan perhubungan mengikut Buddhisme. Hal ini memudahkan
masyarakat Jepun untuk menerima agama Buddha.
Muncul
satu mazhab Buddhisme yang baru iaitu mazhab Zen yang dipelopori Dogen pada
zaman Kamakura sekitar abad ke-12 atau ke-13. Mazhab Buddha Zen ini menolak
ritual mazhab lama dan memberi penekanan kepada personalit yang kuat serta menggalakkan
pertumbuhan budaya sebagai langkah mententeramkan jiwa.[30] Kemunculan Buddha Zen ini
menjadikan ajaran Buddha diterima secara sepenuhnya oleh masyarakat Jepun
terutamanya golongan bawahan. Hal ini menunjukkan bahawa, penerimaan masyarakat
Jepun terhadap agama Buddha mengambil masa yang lama dan membawa kesan kepada
asimilasi dan pembaharuan Buddhisme China dengan kepercayaan sedia ada.
Pengaruh
China telah membawa kesan yang selanjutnya ke atas budaya masyarakat Jepun
iaitu amalan minum teh atau cha-no-yu.
Amalan ini diambil bulat-bulat oleh masyarakat Jepun daripada China. Dalam
kelompok masyarakat Jepun, amalan cha-no-yu
ini diamalkan oleh golongan bushi.
Amalan ini mula muncul pada zaman Muromachi. Upacara minum teh ini mempunyai
tatacaranya yang tersendiri. Semasa menikmati teh ini juga, hanya
perkara-perkara tertentu sahaja yang boleh dibincangkan seperti hal-hal berkait
dengan kesenian.[31]
Upacara minum teh ini masih kekal sehingga kini dan menjadi salah satu amalan
yang dipelihara oleh masyarakat Jepun dan menjadikan bangsa Jepun lebih
bertamadun.
4.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, pengaruh China sememangnya memberi kesan yang besar kepada
kehidupan masyarakat Jepun terutama dalam hal berkait dengan pentadbiran dan
budaya masyarakat Jepun itu sendiri. Pengaruh China juga membuka pintu kepada
Jepun untuk berubah menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertamadun dan
mempunyai sistem masyarakat yang lebih teratur. Hal ini dapat dijelaskan
melalui perubahan masyarakat daripada zaman Jomon ke zaman Yayoi melalui
pengenalan sistem pertanian padi. Kesan yang terbesar sekali dan sering berlaku
perubahan dalam kemasukannya ke Jepun ialah ajaran Buddhisme China dan sistem
tulisan serta bahasa China.
Cara
kemasukan pengaruh China ke Jepun yang melalui dua tahap iaitu melalui Korea
pada tahap pertama dan pada tahap kedua terus melalui China mengalami pasang
surut. Keadaan pasang surut ini berlaku akibat pergolakan politik dan
pertukaran kerajaan baik di Jepun mahupun di China atau Korea. Pengaruh China
juga bukanlah diterima secara sepenuhnya oleh semua kelompok masyarakat pada
awalnya. Penerimaan pengaruh China dalam kalangan masyarakat Jepun mengambil
masa yang lama dan secara perlahan. Sebagai contoh ajaran Buddhisme tidaklah
diterima oleh masyarakat golongan bawahan pada awalnya. Setelah beberapa ratus
tahun, barulah ajaran Buddhisme yang disesuaikan dengan masyarakat Jepun dapat
diterima oleh semua kelompok masyarakat.
Pengaruh
China yang meresap masuk ke Jepun dan diasimilasikan dengan budaya Jepun yang
sedia ada telah mewujudkan sebuah budaya Jepun yang utuh dan berdiri sebagai
sebuah identiti Jepun sendiri. Kemasukan pengaruh China semakin berkurang
selepas zaman Tokugawa. Hal ini kerana, semasa pemerintahan Meiji, pemodenan
yang dilakukan oleh Meiji adalah berorientasikan pemodenan negara-negara barat.
Walaubagaimanapun, amalan-amalan atau budaya-budaya Jepun yang menerima
pengaruh China ini kebanyakannya masih kekal sehingga kini.
5.0 BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad. (2005). Tamadun
Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cranston, E. A. (1993). "Asuka
and Nara Culture: Literary, Literature dan Music". Dalam D. M. Brown, The
Cambridge History of Japan, Volume 1. United Kingdom: Cambridge
University Press. hlm. 453-503.
Shuichi Kato. (1979). A History
of Japanese Literature: The First Thousand Years. Kent: Paul Norbury
Publications Limited.
Varley, P. (2000). Japanese
Culture Fourth Edition. Honolulu: University of Hawai'i Press.
Yutaka Tazawa, et. al. (1973). Japan's
Cultural History: A Perspective. Tokyo: Ministry of Foreign Affairs.
[1]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Budaya, 2005, hlm. 13-14.
[2]
Paul Varley, Japanese Culture,
Honolulu: University of Hawai’i Press, hlm. 4.
[3]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
7.
[4]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
22.
[5]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
25.
[6]
Yutaka Tazawa, Japan’s Cultural History:
A Perspective, Japan: Ministry Foreign Affairs,1973, hlm. 21.
[7]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
25.
[8]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
22.
[9]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
27.
[10] Edwin
A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”, dlm. Delmer
M. Brown, (peny.), The Cambridge History
of Japan, Jilid 1, United Kigndom: Cambridge University, 1993, hlm. 455.
[11] Paul
Varley, Japanese Culture, hlm. 24.
[12]
Shuichi Kato, A History of Japanese
Literature: The First Thousand Years, Kent: Paul Norbury Publications,
1979, hlm. 91.
[13]
Yutaka Tazawa, Japan’s Cultural History:
A Perspective, hlm. 39.
[14]
Shuichi Kato, A History of Japanese
Literature: The First Thousand Years, hlm. 139.
[15]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
4-5.
[16]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
20.
[17]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
28.
[18]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
52.
[19]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
28-29.
[20]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
34-35.
[21]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
5.
[22] Paul
Varley, Japanese Culture, hlm. 31-32.
[23]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
28.
[24]
Shuichi Kato, A History of Japanese Literature:
The First Thousand Years, hlm. 6.
[25]Edwin
A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”, dlm.
Delmer M. Brown, (peny.), The Cambridge
History of Japan, Jilid 1, hlm. 464.
[26]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
36.
[27]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
34-35.
[28]
Edwin A Cranston, “Asuka and Nara Culture: Literary, Literature and Music”,
dlm. Delmer M. Brown, (peny.), The
Cambridge History of Japan, Jilid 1, hlm. 457.
[29]
Paul Varley, Japanese Culture, hlm.
21.
[30]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
38-39.
[31]
Abu Talib Ahmad, Tamadun Jepun, hlm.
40-41.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan