Sabtu, 15 Oktober 2016

Faktor-Faktor Dahagi India 1857 dan Pandangan Sejauh Mana ini Dikatakan Sebagai Perang Pembebasan India



Analisiskan perdebatan para sarjana tentang faktor-faktor yang mencetuskan Dahagi India 1857. Sejauh manakah kebangkitan ini dapat diterima sebagai perang pembebasan India

1.0 PENGENALAN
Dahagi atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai mutiny atau revolt atau rebel berdasarkan Kamus Inggeris Melayu Dewan (1991) yang bermaksud penentangan terbuka terhadap pihak berkuasa mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994). Dahagi 1857 ini secara umumnya turut dipanggil sebagai pemberontakan sepoi sepertimana yang dinyatakan oleh Maulana Abdul Kalam Azad dalam ruang kata-kata aluan buku Eighteen Fifty-Seven hasil tulisan Dr. S.N. Sen.[1] Hal ini kerana pemberontakan dimulakan oleh sepoi India sebelum ianya tersebar dan dilakukan oleh pemerintah tempatan, tuan-tuan tanah mahupun golongan petani.
             Sebelum 1857, terdapat beberapa siri pemberontakan yang dilakukan oleh sepoi menentang dasar-dasar pemerintahan yang diamalkan oleh British. Pada awal 1764, berlaku pemberontakan kecil daripada tentera yang berakhir dengan hukuman tembak yang dijatuhkan kepada 30 orang sepoi dan menurut Sir George MacMunn ianya hanya merupakan hukuman biasa kepada sepoi.[2] Pada 1806, askar Madras melakukan pemberontakan kerana menentang pembaharuan pakaian dan kelengkapan tentera. Pada 1824 pula, 47th Bengal Native Infantry atau askar tempatan Bengal pula memberontak kerana tidak mahu ikut berkhidmat di luar kawasan iaitu Burma. Kesannya, mereka dikenakan hukuman dan askar Bengal melakukan pemberontakan terbuka pada 1844 yang melibatkan tidak kurang daripada tujuh battalion askar yang terlibat mempersoalkan tentang bayaran gaji mereka.[3] Banyak lagi sebenarnya siri-siri pemberontakan sepoi yang berlaku di pelbagai daerah sebelum 1857.
             Pemberontakan yang dilakukan oleh sepoi tercetus atas beberapa faktor. Ketidakpuasan hati terhadap dasar-dasar dan pemerintahan pegawai British terutamanya ketika Lord Dalhousie menjadi Gabenor Jeneral India bermula 1848 menjadi faktor penentangan awal bagi kebanyakan penduduk di India dan akan dikupaskan dalam penulisan ini. Namun begitu, kebanyakan faktor tercetusnya Dahagi 1857 dilihat atas faktor yang menyentuh hal-hal sensitiviti sepoi itu sendiri. Maka tidak hairanlah timbul pandangan tokoh atau sarjana yang pelbagai. Ada yang mengatakan Dahagi 1857 ini sebagai pemberontakan untuk kepentingan sepoi dan ada juga yang mengatakan pemberontakan perjuangan agama menentang Kristian semata-mata.[4] Hal ini berikutan timbulnya kes peluru bagi senjata Enfield Rifle yang turut akan dikupaskan dengan lebih lanjut dalam penulisan ini.
Walaubagaimanapun, terdapat pula pandangan ahli nasionalis India yang menganggap bahawa Dahagi 1857 sebagai perang kemerdekaan India yang pertama.[5] Terdapat pula pandangan yang mengatakan bahawa faktor-faktor yang wujud timbul daripada motif tersembunyi yang dicetuskan secara terancang oleh beberapa pemimpin-peminpin tempatan seperti Nana Saheb, Lakshmi Bai, Bahadur Shah dan lain-lain lagi.[6] Pandangan-pandangan sarjana, tokoh atau sejarawan yang berbeza tentang faktor-faktor tercetusnya Dahagi dan sejauh mana Dahagi 1857 ini dapat diterima atau tidak sebagai perang pembebasan India inilah yang akan dikupas dalam penulisan ini.

2.0 DAHAGI INDIA 1857: FAKTOR-FAKTOR DAN SEJAUH MANA PENERIMAANNYA SEBAGAI PERANG PEMBEBASAN INDIA

2.1       FAKTOR-FAKTOR YANG MENCETUSKAN DAHAGI INDIA 1857

2.1.1 Faktor Politik
                Pelbagai pembaharuan dan kemodenan yang dibawa oleh Lord Dalhousie semasa beliau menjadi Gabenor Jeneral India pada 1848 hingga 1856 seperti pembaharuan pendidikan, ketenteraan, pentadbiran, pembangunan jalan kereta api, dan telegram dan sebagainya.[7] Ada yang mengatakan bahawa pemerintahan British di India dibawah pimpinannya adalah yang paling hebat.[8] Dasar Undang-undang Lesap Waris atau Doctrine of Lapse yang diperkenalkan oleh beliau telah mengundang ketidakpuasan hati dalam kalangan raja dan pemerintah India. Sebagai contoh, Nana Saheb, Peshwa Maratha yang merupakan anak angkat Peshwa Baji Rao II menentang dasar ini kerana beliau tidak layak untuk mendapatkan wang pencen ayah angkatnya.[9] Selain itu, gelaran Nawab di daerah Carnatic dan Tanjore pula dihapuskan dan hal ini pastinya menimbulkan kemarahan dalam diri pemerintah tempatan ketika itu.
            Penjajahan kuasa British semasa pemerintahan Lord Dalhousie sememangnya meluas. British telah berjaya menakluk Panjab selepas tahun 1849, Satara (1848), Sambhalpur (1849), Udaipur (1852), Jhansi (1853) dan Nagpur (1854).[10] Penaklukan Lord Dalhaousie dilaksanakan melalui dasar pengilhakan yang dilakukan melalui dasar Undang-Undang Lesap Waris dan daerah seperti Panjab, Pegu dan Sikkim yang ditawan melalui peperangan. Ketidakpuasan hati sepoi memuncak apabila Oudh, tempat asal kebanyakan sepoi, ditakluk oleh Syarikat Hidia Timur pada 1865. Penaklukan ini pastinya menyebabkan masyarakat India berasa terancam. Menurut Malleson, polisi yang diamalkan oleh Dalhousie dan beberapa kenyataan pegawai tinggi British seperti Sir Charles Napier, telah menimbulkan sangkaan buruk masyarakat India terhadap British kerana menyangka British seperti ‘playing the wolf in the garb of the lamb’.[11]

2.1.2 Faktor Pentadbiran dan Ekonomi
                Kedatangan British ke India telah menyebabkan jawatan-jawatan tertinggi, pentadbir awam dan bidang ketenteraan hanya layak dipegang oleh orang Eropah sahaja manakala jawatan yang dipegang oleh orang India dilucutkan. Sir Thomas Munro pada tahun 1817 mengatakan penjajahan British ini memperlakukan rakyat India dengan kejam dan dilemparkan dengan pelbagai cemuhan dan hal ini tetap berterusan walaupun Akta Sewaan 1833 ada menyatakan polisi untuk percaya dan melayan rakyat tempatan dengan baik.[12]
            Dahagi 1857 juga berlaku kerana pentadbiran tanah di bawah British yang tidak lancar. British telah menghapuskan golongan orang tengah dalam berurusan dengan petani. Maka ramailah taluqdar dan tuan tanah atau zamindar yang tidak berpuas hati. Di Panipat misalnya, Kutipan hasil tanah dikutip oleh pasukan tentera berkuda.[13] Dasar quo-warranto telah diperkenalkan British memerlukan pemilik tanah mempunyai bukti kukuh bahawa mereka pemilik tanah tersebut pastinya memberi ketidakselesaan kepada penduduk tempatan.
            Dalam tahun 1850-an pengusaha indigo yang kebanyakannya terdiri daripada orang Eropah di India menggunakan petani  tempatan untuk bekerja mengusahakan tanaman indigo dibawah perusahaan mereka sedangkan tanah tersebut merupakan tanah yang dikontrak oleh zamindar kepada petani.[14] Hal ini pastinya membebankan petani yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya dipergunakan oleh pengusaha indigo yang mengaut keuntungan yang lebih banyak. Tambahan pula petani hanya boleh menanam indigo sahaja di atas tanah yang mereka kontrak sendiri.
            Syarikat Hindia Timur sebenarnya telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan tidak hanya mengganggu politik dalaman India tetapi juga memusnahkan sistem ekonomi sedia ada masyarakat India. Karl Marx pada 1853 dalam penulisannya menyatakan bahawa pihak British sememangnya telah menghancurkan sistem ekonomi India dengan memusnahkan mesin tenunan dan mesin roda menggulung kapas masyarakat tempatan serta menafikan kain kapas yang dipasarkan di Eropah berasal daripada India.[15] Jelaslah bahawa faktor pentadbiran dan ekonomi turut membawa kepada Dahagi 1857.
2.1.3 Faktor Sosial dan Agama
            Faktor agama dikatakan sebagai faktor pencetus Dahagi 1857 yang sebenar oleh kebanyakan sejarahwan atau tokoh yang turut melihat terdapatnya perancangan yang rapi bagi menimbulkan faktor ini sebagai pencetus Dahagi 1857. S.N Sen antara tokoh yang bersetuju akan hal ini. Menurut beliau, sepoi India lebih mementingkan agama berbanding disiplin.[16] Provokasi tentang peluru “Enfield Rifle” yang disapu dengan lemak babi dan lemak lembu oleh sepoi Islam telah menyentuh sensitiviti agama mereka kerana peluru tersebut perlu digigit oleh sepoi sebelum menggunakannya. Mangal Panday, sepoi daripada Pasukan ke-34 Tentera Infantri Bengal telah melakukan serangan ke atas pegawai batalion Eropah pada 29 Mac 1857 sebagai protes terhadap pemerintahan tentera British yang tidak sensitif dengan isu agama.[17]
Isu mengkristiankan sepoi juga menjadi faktor penyumbang pemberontakan sepoi. Hal ini jelas terbukti apabila British mewujudkan Religious Disabilities Act pada 1850 yang membolehkan penukaran agama Hindu kepada agama Kristian.[18] Penukaran agama ini tidak menghalang seorang anak untuk mewarisi harta bapanya yang berbeza agama dan hal ini merupakan sesuatu yang aneh dalam masyarakat kerana harta keluarga hanya diwarisi kepada waris Hindu sahaja. Kes lain seperti penggunaan nama Ram dan Mohan bagi orang India yang bertukar agama Kristian dan pengisytiharan terang-terangan Major Edward untuk mengkristiankan orang India menjadi isu agama yang jelas mendatangkan kebimbangan orang India sehingga mereka memberontak. Pendidikan barat yang diperkenalkan oleh Lord Dalhaousie dengan memasukkan aktiviti paderi memberi gambaran kepada masyarakat tempatan bahawa British akan menakluk tamadun mereka.
 Lord Shaftesbury mengatakan mengkristiankan India adalah punca seluruh masalah sehingga sepoi dan orang awam memberontak dan menjadikan mereka lebih berwaspada.[19] Sir Syed Ahmed Khan, ahli falsafah Islam yang berfikiran moden mengatakan,
it has been commonly believed that government appointed missionaries and maintained them at its own cost”.[20]
Pendapat Syed Ahmed Khan ini boleh dipercayai kerana tokoh lain seperti Benjamin Disraeli menyatakan bahawa Majlis Undangan India telahpun secara konsisten cuba untuk menghapuskan sistem keagamaan masyarakat India.[21] Jelaslah bahawa faktor sosial yang dikaitkan dengan agama menjadi faktor pemangkin kepada pemberontakan sepoi

2.1.4 Faktor Ketenteraan
            Berlaku pelbagai masalah dalaman dan ketidakadilan dalam sistem pemerintahan ketenteraan India yang dipimpin oleh Syarikat Hindia Timur. Menurut Philip Mason yang menjalankan kajian tentang sepoi,
            “on every occasion when there was trouble in the Indian Army,…there have been present in some degree the three classical factors - ineffective officers, a general political unease or some grievance in the villages, and a direct military grievance as the immediate spark”.[22]
Ternyata pandangan tersebut memberi gambaran kepincangan sistem ketenteraan di India. Ketidakseimbangan layanan, jawatan dan pengambilan tentera Syarikat yang terbahagi kepada tiga presidensi iaitu Madras, Bombay dan Bengal telah berlaku. Hal ini dapat dilihat pada akhir abad ke-18, apabila Ketua Komander bagi pasukan tentera Madras dan Bombay merupakan juga Ketua Komander bagi pasukan tentera Bengal dan Ketua Penasihat Ketenteraan Gabenor Jeneral.[23] Masalah ini menjadi pencetus pemberontakan tentera yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan pentadbiran ketenteraan Syarikat Hindia Timur.
            Pada 1856, tentera Syarikat Hindia Timur terdiri daripada 238 000 penduduk India dan 45 322 tentera British. Tentera India yang begitu ramai ini, diragui kesetiaan mereka. Pada pandangan beberapa sarjana seperti Karl Marx dalam penulisannya berpendapat bahawa sepoi India menjadi pasif untuk satu masa tetapi apabila mereka berada dalam kedudukan yang kukuh dan kuat mereka pandai untuk memberontak.[24] Bilangan tentera Syarikat yang hanya 40 000 lebih orang ini pastinya tidak mencukupi untuk memantau keseluruhan India dan ditambah lagi dengan keraguan terhadap kesetiaan sepoi tempatan. Hal ini menjadi faktor Dahagi 1857 tidak dapat dihalang daripada tercetus dan tersebar ke daerah atau kawasan lain di seluruh India.
            Sistem ketenteraan yang diamalkan pada pada zaman Lord Dalhousie sangat serius dan lebih berdisiplin berbanding dengan sebelumnya. Akta Pendaftaran Am 1856 telah menyebabkan tentera India dihantar berkhidmat di luar India seperti Burma, Parsi dan sebagainya. Hal ini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan sepoi kerana mereka melakukannya bukan atas dasar sukarela tetapi dipaksa. Tentera Bengal di Barrackpore misalnya, pernah melakukan pemberontakan dengan tidak mahu terlibat dalam perbarisan apabila dipaksa berkhidmat ke Burma.[25]
                        Isu lain seperti Akta Pejabat Pos pada 1856 yang menarik balik keistimewaan bayaran pos percuma sepoi juga menjadi faktor penentangan sepoi.[26] Isu Enfield Rifle merupakan isu yang paling hangat yang melibatkan isu agama juga termasuk dalam faktor ketenteraan. Pengenalan peluru bagi senjata tersebut dianggap oleh sepoi India sebagai penghinaan terhadap tentera tempatan kerana Sepoi perlu menggigit peluru tersebut sebelum menggunakannya dan khabar angin tentang peluru itu disapu dengan lemak babi atau lemak sapi membangkitkan kemarahan sepoi.
            Jelaslah bahawa faktor politik, pentadbiran dan ekonomi, sosial dan agama serta ketenteraan menjadi faktor-faktor yang membawa kepada pemberontakan masayarakat India terutamanya golongan sepoi. Faktor-faktor yang dinyatakan jelas menunjukkan bahawa Dahagi 1857 tercetus atas ketidakpuasan hati sepoi kerana hak mereka diganggugugat ditambah khabar angin berkait dengan isu agama yang sangat sensitif bagi masyarakat India serta masyarakat di Asia secara amnya.

2.2 SEJAUH MANA DAHAGI 1857 DAPAT DITERIMA SEBAGAI PERANG PEMBEBASAN INDIA
            Berdasarkan faktor-faktor tercetusnya Dahagi 1857 yang telahpun dihuraikan seperti di atas dan halaman-halaman sebelum ini, banyak menunjukkan pencetus kepada pemberontakan ini ialah sepoi India itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Syarikat Hindia Timur terutamanya ketika Lord Dalhaousie menjadi Gabenor Jeneral. Tambahan pula, kepentingan sepoi telah diganggu gugat serta isu agama yang sensitif timbul sebagai faktor penentangan sepoi. Tidak dinafikan terdapatnya penentangan daripada golongan bukan sepoi seperti tuan tanah, petani dan masyarakat India secara amnya seperti dalam penulisan artikel Gautam Bhadra, “Four Rebels of Eighteen-Fifty-Seven”.[27] Maka, pandangan awal penulis bahawa Dahagi 1857 tidak boleh dikatakan sebagai perang pembebasan India. Walaubagaimanapun, pandangan sarjana atau tokoh yang bersetuju dan tidak bersetuju bahawa Dahagi 1857 ini sebagai perang pembebasan India perlu diambil dilihat dan dikaji terlebih dahulu.

2.2.1 Pandangan Sarjana yang Bersetuju Dahagi 1857 Sebagai Perang Pembebasan India
            Tidak ramai nama sarjana atau tokoh yang memberi pandangan ini. V.D. Savarkar dan Benjamin Disraeli antara tokoh yang bersetuju dengan pendirian Dahagi 1857 sebagai perang pembebasan India. V.D Savarkar dalam The Indian War of Independence memberi pandangan Dahagi 1857 ini merupakan satu peperangan terancang untuk kemerdekaan negara.[28] Konspirasi dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin India untuk menentang British. Pemberontakan-pemberontakan kecil yang berlaku sebelum ini pada pandangan beliau merupakan persediaan bagi masyarakat India untuk mencetuskan Dahagi 1857. Kerjasama antara Hindu dan Muslim yang melakukan pemberontakan ini dinyatakan oleh Savarkar sebagai Perang Pembebasan India 1857.[29]
            Benjamin Disraeli pula pernah mempersoalkan tentang sama ada Dahagi 1857 ialah pemberontakan tentera atau pemberontakan yang bersifat kebangsaan atau negara. Ucapan yang diucapkan oleh Disraeli semasa berucap memberikan pandangan tentang Dahagi India 1857 yang dianalisis oleh Karl Marx dan manyatakan bahawa Disraeli hanyalah ingin menarik perhatian negara-negara luar.[30] Sama seperti Savarkar, Disraeli bersetuju Dahagi 1857 tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi ada satu perancangan yang rapi dalam mencetuskan penentangan masyarakat. Beliau mengakui Dahagi 1857 sebagai “national rising” atau kebangkitan kebangsaan.[31] Jelas terbukti kedua-dua tokoh ini bersetuju bahawa Dahagi 1857 merupakan perang pembebasan India.

2.2.2 Pandangan Sarjana yang Tidak Bersetuju bahawa Dahagi 1857 Sebagai Perang Pembebasan India.
            Pandangan tokoh atau sarjana yang tidak bersetuju bahawa Dahagi 1857 merupakan bukan perang pembebasan India dinyatakan oleh tokoh dalam dan luar negara India. R. C. Majumdar antara sarjana India yang berpandangan sedemikian. Dalam bukunya, The Sepoy Mutiny and the Revolt of India, secara terang-terangan Majumdar menyatakan Dahagi 1857 bukanlah perang pembebasan India.[32] Majumdar ada menegaskan bahawa,
            “there is nothing in the  conduct or behaviour of the sepoys which would justify us in the belief or even assumption, that they were inspired by love for their country or fougth against British with the definite idea of freeing their motherland”.[33]
Dalam Dahagi 1857 di India, golongan yang paling utama ialah golongan yang menentang iaitu sepoi India. Hal ini kerana, tanpa pelaku sesuatu peristiwa, maka peristiwa itu tidak akan wujud. Oleh hal yang demikian, sepoi India menjadi objek kajian Majumdar. Kenyataan Majumdar di atas dapat dibuktikan dalam kes sepoi melakukan rampasan harta terhadap bangsawan Eropah mahupun India sendiri di Delhi, Allahabad dan Barreily. [34]
Dahagi 1857 di Delhi terjadi kerana sepoi tidak menerima gaji. Mereka meneruskan pemberontakan selagi gaji mereka tidak dibayar. Maka, dengan jelas bahawa Dahagi 1857 yang dilakukan oleh sepoi ini tidak lah menunjukkan perjuangan untuk membebaskan India daripada penjajahan, sebaliknya hanyalah untuk kepentingan dan hak sepoi itu sendiri. Dalam bukunya, The Sepoy Mutiny and the Revolt of India, secara terang-terangan Majumdar menyatakan bukanlah perang pembebasan India.
Tokoh yang seterusnya ialah S.N Sen. Pada pandangan beliau, pemimpin-pemimpin India yang terlibat dalam Dahagi 1857 bukanlah sebenarnya ingin menentang British atas dasar ingin membebaskan India sepenuhnya daripada cengkaman British, tetapi sebenarnya menentang British kerana kepentingan mereka diganggu. Menurut S.N. Sen, tidak wujud satu karakter sebagai pemimpin bersifat nasionalis. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemilihan dan pelantikan Bahadur Shah, raja Delhi sebagai ketua pemerintah India yang mengetuai Dahagi adalah secara paksaan oleh pemerintah raja-raja seluruh daerah India. Bahadur Shah dipaksa menjadi ketua bagi memimpin India ketika itu memandangkan tidak ada pemimpin yang dirasakan sesuai ditambah sikap Bahadur Shah yang neutral dalam soal agama. Begitu juga dengan Nana Saheb, yang menentang British disebabkan Dasar Lesap Waris yang menghalang dirinya sebagai anak angkat Peshwa Baji Rao II untuk menerima wang pencen bapa angkatnya. Jelas menunjukkan motif penentangan Nana Saheb adalah untuk kepentingan dirinya. Slogan yang digunakan oleh Rani, permaisuri Jhansi iaitu “mera Jhansi, deyugi nahin”, membawa maksud perjuangan yang dilakukan oleh Rani adalah untuk kawasannya iaitu Jhansi bukannya negara India.[35]
            S.N. Sen berpendapat tidak ada kesefahaman antara sepoi India dengan pemerintah asing baik dari segi budaya, bangsa dan bahasa. Tambahan pula, sepoi-sepoi India dan masyarakat India secara umumnya termasuk raja-raja mereka belum lagi mempunyai semangat patriotik terhadap negara India, sebaliknya perjuangan yang dilakukan hanyalah lebih kepada untuk kepentingan daerah atau kawasan masing-masing atau kelompok kasta dan pekerjaan mereka sahaja.[36] Beliau juga mempunyai pandangan pemberontakan sebuah negara wujud apabila masyarakat mempunyai rasa peduli dan simpati terhadap kejadian tersebut. Tapi hal ini tidak berlaku dalam masyarakat India. Beliau juga mempunyai pandangan bahawa masyarakat India tidak berjuang dan berdiri sebagai satu negara sebaliknya mewakili negeri masing-masing seperti Madras, Punjab, Maharashtri, Hindustani dan sebagainya sepertimana kenyataan beliau,
            India in the first half of the nineteenht century was a geographical expression”.[37]
            Selain itu, L.E. Rees seorang lagi tokoh yang memberi pandangan bahawa Dahagi 1857 di India lebih kepada peperangan agama iaitu perjuangan menentang agama Kristian. Beliau menyatakan walaupun orang India tidak berjaya dalam penentangan ini secara sepenuhnya, tetapi masyarakat India tidak tewas dalam perang agama ini. Hal ini kerana mubaligh-mubaligh Kristian tidak berjaya mengkristiankan masyarakat India walaupun teori sains daripada barat mempengaruhi minda orang India.[38]
            Maulana Abul Kalam Azad, seorang tokoh di India yang memberikan pandangan melalui kata-kata aluan dalam buku penulisan S.N. Sen, Eighteen Fifty-Seven, menyatakan bahawa sukar untuk melihat Dahagi 1857 tercetus akibat semangat kebangsaan semata-mata. Semangat patriotisme yang muncul dalam kalangan pemberontak iaitu kebanyakannya sepoi India, tidak menampakkan pemberontakan bersifat kebangsaan. Sikap cemburu antara satu sama lain membawa kepada kekalahan dan perpecahan diantara masyarakat India.[39]

3.0 PENUTUP
            Dahagi 1857 berlaku kerana pelbagai faktor yang sememangnya mempunyai kaitan dengan isu-isu yang membangkitkan kemarahan sepoi India dan juga menyentuh isu-isu sensitiviti masyarakat India secara amnya.  Pemberontakan sepoi bermula di Oudh akibat penjajahan Oudh dan juga isu peluru Enfield Rifle yang tersebar bermula di Barrackpore yang kemudian merebak daerah lain India merupakan permulaan Dahagi 1857. Awal sebelum itu sudah ada pemberontakan-pemberontakan yang banyak dilakukan oleh sepoi. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Dahagi 1857 ini ternyata lebih menampakkan kaitan dengan penentangan sepoi. Maka dapatlah dikatakan bahawa Dahagi India 1857 sebagai pemberontakan sepoi walaupun terdapat pemberontakan yang dilakukan oleh beberapa kelompok yang lain seperti golongan petani dan pemerintah. Pemberontakan sampingan itu tidak begitu memberi kesan sehingga membolehkan Dahagi 1857 itu terjadi.
            Pada pandangan penulis, pandangan sarjana yang tidak menyokong pandangan yang menyatakan bahawa Dahagi 1857 sebagai perang pembebasan India lebih kukuh berbanding pandangan sarjana yang menyokong Dahagi 1857 sebagai perang pembebasan India. Melihat kepada faktor-faktor dan pandangan tokoh-tokoh atau sarjana, dapatlah disimpulkan bahawa dahagi di India pada 1857 merupakan pemberontakan tentera dan bukannya sebuah peperangan atau perjuangan ke arah kemerdekaan atau pembebasan India secara penuh daripada penjajahan British. Hal ini kerana, Dahagi 1857 bermula daripada faktor ketidakpuasan hati sepoi yang berasa hak mereka diganggu gugat dan penentangan yang berlaku lebih bersifat kedaerahan.
            Walaupun dahagi sepoi India pada 1857 ini gagal, namun ia membuka mata British bahawa penmerintahan British di India tidak layak diberikan kepada wakil British iaitu Syarikat Hindia Timur. British selepas itu, mula menghormati pemerintahan tempatan dan perjanjian yang telah dibuat dengan pihak pemerintah tempatan. Kesan terbesar sekali ialah kepada sistem ketenteraan India di mana berlakunya rombakan atau penstrukturan semula sistem ketenteraan India selepas Dahagi 1857.



4.0 BIBLIOGRAFI
Grover, B. L., & Grover, S. (1995). A New Look at Modern Indian History. Delhi: S.Chand &
            Company Ltd.
Hirendranath Mukerjee. (1946). India Struggles for Freedom a History. Bombay: Kutub
            Publishers Limited.
Martson, D. P., & Chandar S. Sundaram. (ed.). (2007). A Military History of India and South
            Asia
. New Delhi: Pentagon Press.
Marx, K., & Engels, F. (1978). The First Indian War of Independence 1857-1859. Moscow:
            Progress Publisher.
Ranajit Guha & Gayatri Chakravorty Spivak. (ed.). (1988). Selected Subaltern Studies. New
            York: Oxford University Press.
S.N. Sen. (1958). Eighteen Fifty-Seven. Calcutta: The Publication Division Ministry of
            Information and Broadcasting of India.
Kamus Inggeris Melayu Dewan. (1991). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1994). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




[1] Surendra Nath Sen, Eighteen Fifty-Seven, Culcutta: The Publication Division Ministry of Information and Broadcasting of India, 1958, hlm. V.
[2] Hirendranath Mukerjee, India Struggles for Freedom a History, Bombay: Kutub Publishers Limited, 1946, hlm. 48.
[3] Ibid.
[4] B.L. Grover & S. Grover, A New Look at Modern Indian History, Delhi: S.Chand & Company Ltd., 1995, hlm. 253.
[5] Ibid.
[6] Ranajit Guha & Gayatri Chakravorty Spivak, (ed.), Selected Subaltern Studies, New York: Oxford University Press, 1988, hlm. 130.
[7] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 233-236.
[8] Ibid., hlm. 221.
[9] Ibid., hlm. 259.
[10]Ibid., hlm. 229.
[11]Ibid., hlm. 260.
[12] Ibid., hlm. 261.
[13] Ibid.
[14] Ranajit Guha & Gayatri Chakravorty Spivak, (ed.) 1988, hlm. 57.
[15] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 262.
[16] Surendra Nath Sen, 1958, hlm. 4.
[17] Daniel P. Martson & Chandar S. Sundaram, (ed.), A Military History of India and South Asia, New Delhi: Pentagon Press, 2007, hlm. 24-26.
[18] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 263.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Daniel P. Martson & Chandar S. Sundaram, (ed.), 2007, hlm. 23.
[23] Ibid., hlm 18.
[24] Karl Marx & Frederick Engels, The First Indian War of Independence 1857-1859, Moscow: Progress Publisher, 1978, hlm. 40.
[25] Hirendranath Mukerjee, 1946, hlm. 48.
[26] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 264.
[27] Ranajit Guha & Gayatri Chakravorty Spivak, (ed.), 1988, hlm. 130-175.
[28] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 255.
[29] Hirendranath Mukerjee, 1946, hlm. 51.
[30] Karl Marx & Frederick Engels, 1978, hlm. 44-47.
[31] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 257.
[32] Ibid., hlm. 256.
[33] Ibid., hlm. 257.
[34] Ibid.
[35] Ibid., hlm. 257-258.
[36] Surendra Nath Sen, 1958, hlm. 417.
[37] B.L. Grover & S. Grover, 1995, hlm. 256.
[38] Ibid.,hlm. 254.
[39]  Ibid., hlm. 273.

1 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

5 youtube - Videoodl.cc
youtube 【video games online】for fun 【livechat】nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl,nhl youtube converter to mp3